SEJARAH KAMPUNG

Kampung Bukit Durian adalah sebahagian dari Kampung Paya Dalam kerana sebelum Kampung Paya Dalam mendapat namanya, telah wujud beberapa buah kampung-kampung kecil yang pada peringkat awalnya lebih dikenali sebagai solok. Solok-solok yang ada-ada peringkat awal ialah Solok Lapis, Solok Bukit Kecil, Solok Bukit Nibong, Solok Batu Putih dan Solok Surau Batu. Kemudiannya muncul pula Solok Tanjung Mak Midah, Solok Paya Meranti, Solok Paya Redan, Solok Paya Tanjung dan Solok Fajar. Keseluruhan solok-solok inilah yang membentuk keseluruhan Kampung Paya Dalam yang terletak dalam Mukim Bukit Lintang di Daerah Melaka Tengah. Pembukaan Kampung Paya Dalam yang merangkumi Kampung Bukit Durian adalah berkait rapat dengan kedatangan orang-orang Jawa ke Tanah Melayu secara besar-besaran yang dipercayai berlaku pada pertengahan abad ke-19 sehingga meletusnya Perang Dunia ke-2 (1941-1945). Antara faktor migrasi masyarakat Jawa ke Tanah Melayu pada masa itu disebabkan oleh dasar kejam pemerintahan penjajah Belanda berbanding dengan penjajah Inggeris yang menguasai Tanah Melayu pada ketika itu.
                                              
Orang-orang Jawa yang tertarik dengan suasana hidup yang lebih baik di Tanah Melayu telah datang dengan ramainya dan telah bermastautin tanah-tanah di kawasan pantai Barat Tanah Melayu dari Johor sehingga ke Negeri Perak. Walaupun penempatan masyarakat Jawa di Melaka telah wujud seawal era Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 namun penempatan orang-orang Jawa di negeri Melaka tidaklah begitu ramai dan hanya terdapat di kawasan Sungai Rambai, Paya Dalam, Tambak Paya dan Kampung Tehel. Antara keempat-empat kawasan penempatan Jawa yang terawal, Kampung Paya Dalam dianggap sebagai kawasan penempatan Jawa paling ramai di Negeri Melaka ini jika dibandingkan dari sudut demografik.

 

Tarikh tepat pembukaan Kampung Paya Dalam memang sukar diperolehi kerana tiada sebarang rekod yang dapat dijadikan rujukan namun hasil maklumat lisan dengan warga emas kampung ini khususnya dari keturunan peneroka awal Kampung Paya Dalam, adalah dipercayai bahawa tahun pembukaan kampung ini berlaku sekitar tahun 1880 atau awal sedikit darinya tetapi yang pasti tidak lebih awal dari tahun 1870 kerana dikisahkan bahawa pada tahun 1885, pokok kelapa yang pertama ditanam oleh pendatang awal masyarakat Jawa ini baru mula mengeluarkan buah. Dengan menganggarkan usia pokok kelapa dari mula ditanam hingga mengeluarkan buah mengambil masa kira-kira 5 tahun, maka berdasarkan itulah maka dipercayai penempatan masyarakat Jawa di Kampung Paya Dalam ini berlaku sekitar tahun 1880.

Menurut sejarah, petempatan orang Jawa di Kampung Paya Dalam ini bermula di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang dan dikatakan bekas tapak surau yang mereka dirikan masih dapat dilihat di situ dan bukti ini diperkukuhkan lagi dengan adanya sebilangan kecil penduduk di situ berketurunan Jawa walaupun pada masa kini sebahagian besar penduduknya adalah terdiri dari keturunan Melayu.

Berita penempatan Jawa di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang ini telah sampai dipengetahuan sanak saudara serta jiran tetangga mereka di Tanah Jawa lalu mendorong sebahagian daripada mereka untuk turut berhijrah ke sini. Apabila jumlah mereka bertambah ramai, mereka mula meneroka tanah kawasan baru khususnya di tanah terbiar di sekitar Kampung Bukit Lintang ini. Petempatan pertama keturunan Jawa di Paya Dalam bermula di Kampung Bukit Kecil kemudian wujud pula Kampung Parit Lapis yang akhirnya ditinggalkan kerana kedudukan tanah yang rendah dan kerap dilanda banjir menyebabkan penduduknya berpindah ke kawasan yang lebih tinggi yang kini dikenali sebagai Kampung Bukit Gadong. Kedatangan orang-orang dari tanah Jawa terus bertambah malah ada di antara orang-orang Jawa yang telah menetap di Singapura dan Johor turut datang berhijrah ke kawasan ini.

Penghijrahan lebih ramai orang-orang Jawa ke kawasan ini telah menyumbang kepada perluasan Kampung Paya Dalam hasil daripada penerokaan kawasan-kawasan baru sehingga muncullah Solok Kampung Tengah, Solok Bukit Durian, Solok Bukit Nibong dan lain-lain lagi. Adalah dipercayai Kampung Bukit Durian ini mula dibuka oleh orang-orang Jawa pada penghujung tahun 1890 atau awal tahun 1900 oleh tiga keluarga iaitu Allahyarham Tuan Haji Sirat dan isteri, Allahyarham Haji Tahir dan isteri dan Allahyarham Haji Salleh.

Pada peringkat awalnya mereka ini mendirikan rumah di kawasan tanah paya yang terletak di antara Parit Lapis (telah tiada akibat dari pembinaan Lebuh AMJ) dengan Parit Bukit Durian. Kesan penginggalan petempatan ini dapat dilihat sehingga tahun 1950 iaitu bekas tapak rumah, pecahan pinggan mangkuk dan juga pokok-pokok yang mereka tanam seperti pokok kelapa, pokok belinjau dan pokok jambu. Oleh kerana kerap dilanda banjir telah memaksa mereka mencari tanah yang lebih tinggi dan lebih selamat untuk didirikan rumah. Dan akhirnya tanah yang menjadi pilihan mereka ialah kawasan bukit yang kini dikenali sebagai Kampung Bukit Durian.

Sumber: Kampung Bukit Durian Satu Abad Meniti Zaman